Isu
royalti minyak biasanya muncul menjelang pilihan raya umum. Biasanya yang
menjuarai isu ialah pemimpin dan parti-parti pembangkang.Tetapi kali ini agak
berbeza. Pemimpin dan parti yang bercakap isu royalti dari pemimpin tertinggi
kerajaan dan dari parti pemerintah BN. Kenyataan terbaru daripada Ketua Menteri
Sabah, Datuk Seri Musa Aman yang bersetuju isu royalti bukan isu baru dan
merupakan salah satu janji BN dalam manifesto PRU tahun lalu.
Apa
yang menarik, kedua-dua negeri dari Borneo yang menyumbang 85% dari keluaran
minyak dan gas negara senada dan seirama dalam tuntutannya kepada kerjaan Pusat
menuntut royalty yang lebih besar daripada 5% yang diberikan Petronas kepada
negeri-negeri itu.
Isu
royalti dibangkitkan ketua menteri Sarawak yang baru dilantik pada 1 Mac lalu.
Tan Sri Adenan Satem dalam satu kenyataan meminta kerajaan pusat
mempertimbangkan kenaikan royalti minyak untuk negeri Sarawak. Kadar yang
disebut ialah 20%. Kadar yang sama dijanjikan PR kepada negeri-negeri pengeluar
minyak jika PR berjaya mengambil-alih pentadbiran Putrajaya pada PRU lalu.
Sebenarnya Adenan hanya mengulangi kenyataan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tan
Sri Mohd Taib Mahmud pada 2012.
Kenyataan
Adenan Satem disambut Timbalan Pengerusi Umno negeri Sabah, Datuk Dr Salleh
Said Keruak, yang bersetuju dengan kenyataan Adenan Satem. Dalam
kenyataannya, Dr Salleh berpendapat kajian semula kadar royalti adalah wajar
dan kerajaan Pusat haruslah responsif terhadap tuntutan itu. Jika kerajaan
Pusat tidak dapat berikan tambahan, penjelasan hendaklah diberikan kenapa ia
tidak boleh ditambah dan memberi pilihan untuk menanganinya.
Pada
29 March 2013, tiga pergerakan pemuda BN dari parti PBS, UPKO dan PBRS
mengeluarkan keyataan bersama untuk memberi sokongan kepada cadangan ketua
menteri Sarawak supaya kerajaan Pusat menyemak semula perjanjian royalty
minyak. Pemuda BN Sabah yang diketuai ketua pemuda PBS, Jake Nointin, Arthur
Sen (Upko) dan Arthur Kurup (PBRS) berkata mereka akan menghantar cadangan
mereka kepada kerajaan Pusat dalam masa terdekat.
Setiausaha
BN Datuk Abdul Rahman Dahlan juga membuat kenyataan yang positif mengenai isu
royalti selepas kenyataan beberapa pemimpin dari BN Sabah, tetapi kenyataan
Menteri Kesejahteraan Bandar dan Perumahan yang mengatakan Petronas akan muflis
jika royalti bertambah 15% masih lekat dalam ingatan rakyat Sabah.
Sebenarnya
suara paling lantang mengenai royalti minyak adalah daripada pemimpin-pemimpin
parti pembangkang dan pemimpin NGO. Yang amat konsisten ialah Datuk Dr Jeffrey
Kitingan dari parti STAR dan tokoh NGO seperti Zainal Ajamain dari UBF (United
Borneo Front) yang mendakwa Perjanjian Petronas dengan Kerajaan Sabah adalah
tidak sah, null and void.
Pada
25 Septemper 2012, Zainal dan 5 orang rakyat Sabah memfail kes melalui seorang
peguam ke mahkamah Kota Kinabalu untuk istiharkan Perjanjian kerajaan Sabah
dengan petronas adalah tidak sah. Plaintif terdiri dari Lahirul Latigu
dari PAS, Micheal Peter Govind, Zainal Ajamain, Mohd Julfikar Abd Mijan, dan
dua dari parti SAPP, Dullie Marie dan Joseph Wilfred Lakai.
Tuntutan
dari parti pembangkang agar kontroversi kerana hujah mereka, minyak Sabah
adalah 100% milik kerajaan Negeri kerana termasuk dalam senarai Negeri
dalam Perlembagaan Persekutuan, sepatutnya hak memberi royalti kepada Kerajaan
Pusat adalah hak negeri Sabah selepas mengadakan perundingan dengan syarikat
carigali minyak seperti Petronas.